Tuesday, April 12, 2022

[1178.22] PERBEZAAN “INDIVIDU YANG MENDAKWA TIDAK PERNAH MENGANUTI ISLAM” DAN “INDIVIDU YANG TIDAK LAGI MENGANUTI ATAU MENGAMALKAN AJARAN ISLAM”


Di dalam kes Dahlia Dhaima Abdullah V. Majlis Agama Islam Selangor & Anor [2022] MLRHU 154, Saman Pemula Plaintif memohon perintah untuk mengisytiharkan bahawa dia "bukan seorang yang menganut agama Islam”.
Saman Pemula plaintif telah ditentang oleh Majlis Agama Islam Selangor ("MAIS") dan Kerajaan Negeri Selangor atas alasan bahawa tuntutan Plaintif tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil dan Plaintif adalah merupakan seorang Muslim yang sah di sisi undang-undang.
Plaintif berhujah bahawa pada mulanya dia tidak pernah beragama Islam. Dia tidak menganut atau mengamalkan agama Islam. Pengislaman itu berlaku ketika dia masih kecil, dan pengislaman itu diputuskan oleh ibunya yang memeluk Islam.
Di dalam kes Azmi Mohamad Azam v. Director of Jabatan Agama Islam Sarawak & Ors [2016] MLRHU 289 menyatakan bahawa Mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status orang yang mendakwa 'tidak pernah beragama Islam' (ab initio cases) manakala Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan status orang yang pernah memeluk agama Islam kemudian mendakwa dirinya tidak lagi menganut dan mengamalkan Agama Islam.
Manakala di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Others [2007] 1 MLRA 359; [2007] 4 MLJ 585; [2007] 3 CLJ 557; [2005] 5 AMR 663, Lina Joy asalnya bukan Islam, kemudian secara sukarela memeluk agama Islam, tetapi kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan agama tersebut. Dalam situasi ini, persoalan keluar dari akidah Islam, pastinya terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Kesimpulannya, individu yang mendakwa tidak pernah menganut agama Islam dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil manakala individu yang mendakwa tidak lagi menjadi Muslim terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes.
GAMBAR SEKADAR HIASAN
NUR ZAHIRAH BAHARI



 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►