Wednesday, February 24, 2021

[807.21] BOLEH PEGUAM WAKILI KLIEN DI ARBITRASI?


Tribunal timbang tara yang menjalankan prosiding timbang tara akan memakai undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak di dalam Perjanjian yang telah dibuat. Walaubagaimanapun, jika tiada penetapan bagi perkara tersebut maka tribunal timbang tara akan menggunakan undang-undang terpakai bagi penyelesaian kaedah-kaedah konflik. Prosiding timbang tara adalah dalam kuasa pihak-pihak yang ingin menyelesaikan isu yang timbul di mana semua prosedur seperti perlantikan penimbang tara, perlantikan peguam bagi mewakili pihak-pihak di dalam prosiding timbang tara harus mengikuti klaus timbang tara di dalam Perjanjian yang dibuat pihak-pihak tersebut.
Oleh itu, jika tiada penetapan berikut dalam klaus Perjanjian, maka prosiding timbang tara boleh dilakukan mengikut Akta Timbang Tara. Seksyen 3A Akta Timbang Tara (Pindaan)(No. 2) 2018 memperuntukkan pihak-pihak terlibat boleh melantik wakil bagi mewakilinya dalam prosiding tersebut dan juga tiada apa-apa syarat yang ditetapkan bagi melantik penimbang tara di mana pihak-pihak bebas melantik peguam yang akan mewakili mereka dan penimbang tara sama ada dari Malaysia atau luar negara. Walaubagaimanapun, seksyen tersebut menyatakan “kecuali jika dipersetujui oleh pihak lain” yang membawa maksud kedua-dua pihak perlu bersetuju bagi keputusan sama ada akan menggunakan wakil di dalam prosiding atau tidak. Sama ada pihak tersebut diwakili atau tidak ianya akan ditulis di dalam Notis Timbang Tara. Jika pihak tersebut diwakili oleh peguamcara maka semua notis dan dokumen perlu diserahkan kepada pihak Peguamcara
Kesimpulannya, timbang tara adalah alternatif kepada pembicaraan undang-undang di Mahkamah dengan prosedur yang kurang formal berbanding di Mahkamah. Oleh itu, keputusan bagi menentukan sama ada pihak tersebut memerlukan seorang peguam sebagai wakil di dalan prosiding timbang tara adalah penting kerana keputusan yang dibuat tribunal timbang tara adalah terikat terhadap pihak-pihak berkenaan
Aainaa Mahirah Ozaimudi
Subang Jaya
Feb 2021



 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►