Friday, January 22, 2021

[772.21] HAK DAN TUNTUTAN YANG BOLEH DILAKUKAN SEMASA DAN SELEPAS PERCERAIAN


Setelah perceraian telah didaftarkan bagi pasangan Muslim di Malaysia, terdapat beberapa jenis tuntutan yang boleh di tuntut oleh setiap pihak pasangan tersebut. Di antara hak dan tuntutan yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas perceraian berlaku adalah Nafkah, Hadanah (hak jagaan anak), Harta Sepencarian, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, proses tuntutan tersebut tidak kurang berbeza dengan tuntutan di Mahkamah Sivil di mana tuntutan yang didaftarkan akan dikendalikan terlebih dahulu dalam proses Sulh di mana ianya dikenali sebagai mediasi bagi amalan perundangan sivil. Jika kedua belah pihak berjaya mencapai persetujuan maka Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah persetujuan di mana perbicaraan tidak perlu dilakukan.
Tuntutan Hadanah adalah tuntutan bagi hak penjagaan anak-anak kecil pasangan yang telah bercerai. Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak kecil tersebut mencapai umur mumaiyiz di mana jika perbalahan berlaku bagi tuntutan hak jagaan anak yang sudah cukup umur, Mahkamah akan mengeluarkan perintah bagi hak hadanah berdasarkan pilihan anak tersebut sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa.
Mahkamah menetapkan kelayakan bagi satu pihak untuk membuat tuntutan hadanah harus beragama Islam, baligh dan sempurna akal. Seterusnya, pihak yang menuntut telah mencapai umur yang melayakkan nya untuk memberikan kanak-kanak tersebut kasih sayang dan pendidikan yang sempurna. Mahkamah juga menitikberatkan tentang perilaku pihak yang menuntut iaitu berkelakuan baik dari segi Islamiah di mana pihak yang dikenali sebagai fasikh tidak akan mendapat hak hadanah contohnya seperti dikenali sering berzina dan minum minuman keras.
Mahkamah telah menetapkan syarat-syarat bagi menentukan pihak yang berhak mendapat tuntutan hadanah dari segi tempat tinggal dan pembelajaran kanak-kanak tersebut. Mahkamah juga boleh memberikan perintah pemeliharaan sementara bagi kanak-kanak tersebut dalam kawalan seseorang yang lain daripada pihak yang diberi jagaan kanak-kanak tersebut seperti dalam tempoh sebelum tuntutan hak hadanah selesai kanak-kanak boleh diperintahkan dibawah jagaan sementara oleh nenek kanak-kanak tersebut.
Selain itu, Mahkamah juga boleh memberikan perintah kepada pihak yang tidak dapat hak jagaan anak, hadanah untuk berjumpa dan melawati kanak-kanak tersebut pada masa-masa dan seberapa kerap yang dikirakan munasabah dan juga melarang orang yang diberikan jagaan untuk membawa kanak-kanak tersebut keluar dari Malaysia.
Bagi situasi di mana ibu kanak-kanak hilang kelayakan bagi hak jagaan anak, Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan senarai pihak-pihak yang berhak mendapat hak jagaan tersebut mengikut susunan keutamaan iaitu bermula dari nenek sebelah ibu dan yang terakhir adalah waris lelaki yang boleh menjadi waris kanak-kanak tersebut.
Seorang Ibu boleh digugurkan hak terhadap hadanah bagi anaknya sekiranya beliau murtad atau berkahwin lain iaitu dengan lelaki yang tiada pertalian dengan anaknya iaitu bukan muhrim. Di dalam kes Maheran binti Abdullah lwn Khairudin bin Abd. Majid di mana pihak Ibu hilang kelayakan hadanah terhadap tiga orang anaknya setelah beliau berkahwin lain dengan lelaki yang tidak mempunyai hubungan saudara dengan anak-anaknya. Selain itu, Mahkamah telah memrintahkan di dalam kes Norhaiza lwn Saat di mana pihak Ibu telah hilang kelayakan setelah berkahwin lain dan kehidupan harian beliau yang terikat dengan kerja di bank menyebabkan beliau terbatas untuk mendidik anaknya pada siang hari dan memerlukan penjaga bagi anak tersebut.
Mahkamah juga boleh memerintahkan penguguran hak seorang Ibu ke atas hadanah anaknya jika beliau berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka. Di dalam kes Nong Azman Shah lwn Ahood Thamer Badei di mana Mahkamah mendapati pihak Ibu telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan Ibu di mana hak jagaan bagi anak bawah umur terus diberikan kepada Ibu boleh dipatahkan iaitu mengikut hukum syarak dan Enakmen, anak-anak berhak kepada seseorang penjaga yang lebih baik jika Ibu kanak-kanak tersebut cuai dan menganayai anak-anaknya. Seorang Ibu juga boleh kehilangan hak hadanah sekiranya beliau menukar pemastautinannya dengan tujuan menghalang bapa kanak-kanak untuk menjalankan pengawasan, kecuali apabila pihak isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir ibunya.
Tempoh hadanah adalah sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumaiyiz iaitu tujuh tahun bagi kanak-kanak lelaki dan sembilan tahun bagi kanak-kanak perempuan. Setelah tamat tempoh hak hadanah, jagaan diberikan kepada bapa dan jika kanak-kanak tersebut mencapai umur mumaiyiz maka kanak-kanak tersebut berhak memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa.
Seterusnya, tuntutan harta sepencarian. Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa:
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang: —
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.
Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi secara bersama pihak suami dan isteri semasa dalam tempoh perkahwinan dan ianya juga termasuk harta-harta yang diperolehi sebelum perkahwinan dan nilainya bertambah semasa dalam tempoh perkahwinan hasil dari usaha kedua-dua pihak. Tuntutan bagi harta sepencarian boleh dilakukan dalam tiga keadaan iaitu selepas perceraian, selepas kematian salah satu pihak, dan ketika tuntutan poligami.
Mahkamah akan menentukan kadar pembahagian harta sepencarian berdasarkan sumbangan yang dibuat oleh pihak suami dan isteri semasa dalam tempoh perkahwinan sama ada wang, kerja atau hutang yang telah dilakukan bagi manfaat bersama dan juga kepada anak-anak yang belum dewasa. Mahkamah telah menetapkan dalam kes Noh bin Atan V.Shakila di mana jika harta didaftarkan dengan kedua-dua nama pihak suami dan isteri maka pembahagian akan diberikan sama rata di antara suami dan isteri
Perintah bagi pembahagian harta sepencarian boleh dilakukan dengan pelbagai cara iaitu secara Sulh di mana suami/isteri membuat pengakuan dan penyerahan hak kepada isteri/suami bahawa rumah itu adalah harta sepencarian tetapi tidak mahu menuntut dan melepaskan haknya terhadap bekas suami/isteri dan anak-anak.
Seterusnya secara bayaran balik di mana pihak yang ingin menuntut hak bagi harta sepencarian perlu membayar pihak yang tidak menuntut dengan kadar bayaran yang telah dilakukan oleh pihak tersebut semasa memperolehi aset itu. Pembahagian juga boleh dilakukan secara penjualan di mana kedua-dua pihak tidak mahu menuntut sesuatu harta tetapi inginkan bahagian masing-masing maka mahkamah akan memerintahkan harta tersebut dijual dan dibahagikan mengikut kadar sumbangan terhadap perolehan harta itu.
Seterusnya, secara pembahagian sama rata di mana kedua-dua pihak telah bersama menyumbang bagi memperolehi aset tersebut maka Mahkamah akan memerintahkan aset tersebut dibahagikan kepada dua dan Mahkamah juga akan menilai berdasarkan kadar sumbangan kedua-dua belah pihak.
Akhir sekali, pihak-pihak yang ingin membuat tuntutan perlu menyediakan dokumen-dokumen pembelian dan milikan serta saksi-saksi bagi tuntutan mereka.
Nota: Gambar permohonan hadhanah ke atas anak perkahwinan DS Vida menjadi bualan tempohari menjadi rujukan antaranya kepada artikel
Aainaa Mahirah Ozaimudi
Subang Jaya, Jan 2021


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►