Thursday, December 5, 2019

[503.19] PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN & PERINTAH MAHKAMAH



Apabila mana-mana pihak di dalam suatu tindakan kes Mahkamah gagal melaksanakan perintah atau penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah di dalam sesuatu kes, pihak yang lagi satu boleh mendapatkan pelaksanaan perintah atau penghakiman melalui salah satu atau lebih kaedah (method) atau proses Mahkamah yang sedia ada.
Walaubagaimanapun, pihak-pihak perlu diingatkan bahawa pelaksanaan penghakiman atau perintah ini tertakluk kepada tempoh had masa di bawah Akta Had Masa 1953. Tempoh had masa bagi penguatkuasaan/pelaksanaan perintah atau penghakiman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6(3) Akta Had Masa 1953 adalah 12 tahun di mana sesuatu tindakan ke atas apa-apa penghakiman atau perintah tidak boleh dibawa selepas tamatnya tempoh 12 tahun dari tarikh penghakiman itu boleh dikuatkuasakan.
Aturan 46 Kaedah 2(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan bahawa suatu writ pelaksanaan untuk menguatkuasakan sesuatu penghakiman atau perintah tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran Mahkamah jika tempoh 6 tahun telah berlalu tetapi belum melebihi 12 tahun dari tarikh penghakiman atau perintah. Dalam keadaan begini, pihak yang ingin menguatkuasakan suatu penghakiman atau perintah mestilah mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu sebelum melaksanakan penghakiman atau perintah tersebut.
Terdapat beberapa cara pelaksanaan penghakiman atau perintah Mahkamah yang boleh diambil oleh pihak-pihak di dalam sesuatu prosiding kes. Antaranya ialah Writ Penyitaan dan Penjualan di bawah Aturan 47 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Writ pelaksanaan bagi penyitaan dan penjualan ini hanya sah untuk tempoh dua belas (12) bulan dari tarikh ianya dikeluarkan.
Pertama sekali, terdapat dua klafikasi harta iaitu harta boleh alih dan harta tidak boleh alih. Bagi harta boleh alih, Seksyen 3(1) Akta Penghutang 1957 melarang penyitaan dibuat ke atas harta boleh alih yang tertentu sepertinya pakaian, barang dagangan/perniagaan, wang pendapatan yang berjumlah kurang daripada RM 200.00 dan beberapa harta/barang lain yang disenaraikan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penghutang 1957. Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa penyitaan harta boleh alih adalah terhad dan tertakluk pada peruntukkan undang-undang yang ditetapkan.
Manakala, bagi harta tidak boleh alih, Aturan 47 Kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa harta tidak boleh alih boleh disita yang mana bagi menghalang Penghutang Penghakiman daripada mengalih, menggadai, memajak harta tersebut. Walaubagaimanapun, perintah penyitaan harta tidak boleh alih ini hanya berkuatkuasan selama 6 bulan dari tarikh ianya diperintahkan. Tiada perintah larangan berganda boleh dibuat terhadap harta tidak boleh alih yang sama.
Setelah mendapatkan perintah larangan tersebut, ianya mestilah didaftarkan terlebih dahulu. Kemudian, setelah tamatnya tempoh 14 hari daripada tarikh pendaftaran perintah larangan tersebut, penjualan harta tersebut bolehlah dilaksanakan.
Selepas penyitaan dibuat, mana-mana urusan yang dikendalikan oleh Penghutang Penghakiman ke atas harta tersebut adalah batal. Bailif (penguatkuasa Mahkamah) kemudiannya akan menjual harta/barang yang disita tersebut bagi membayar Pemiutang Penghakiman.
Selain itu, pihak-pihak boleh melaksanakan Saman Penghutang Penghakiman. Melalui kaedah pelaksanaan ini, terdapat dua peruntukkan undang-undang yang membenarkan pelaksanaan perintah iaitu prosedur di bawah Seksyen 4 Akta Penghutang 1957 dan Aturan 48 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Di bawah Aturan 48 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Pemiutang Penghakiman boleh memerintahkan agar Penghutang Penghakiman diperiksa/disoal secara lisan oleh Pendaftar Mahkamah akan jumlah amaun tuntutan dan sama ada Penghutang Penghakiman mempunyai harta/aset lain yang boleh memenuhi perintah/penghakiman tersebut.
Manakala, di bawah Seksyen 4(1) Akta Penghutang 1957, di mana apabila penghakiman atau perintah Mahkamah adalah untuk pembayaran sejumlah amaun wang, pihak yang berkehendak untuk melaksanakan penghakiman atau perintah tersebut boleh memanggil Penghutang Penghakiman untuk diperiksa/disoal secara lisan di Mahkamah berkenaan dengan kemampuan Penghutang Penghakiman untuk membayar jumlah amaun yang diperintah tersebut atau untuk pemeriksaan harta yang sedia ada untuk pembayaran amaun yang diperintahkan tersebut. Seksyen ini dibaca bersama Aturan 74 Kaedah 11A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 di mana Saman Penghutang Penghakiman boleh dimohon bagi tujuan melaksanakan perintah atau penghakiman Mahkamah. Melalui pemeriksaan ini, Mahkamah boleh mengarahkan agar Penghutang Penghakiman untuk membayar jumlah amaun yang diperintahkan secara sekaligus dengan segera atau dalam tempoh masa yang ditetapkan atau secara ansuran dalam tempoh yang diarahkan oleh pihak Mahkamah.
Sekiranya Penghutang Penghakiman masih gagal mematuhi pelaksanaan perintah atau penghakiman ini, satu notis boleh dikeluarkan ke atas Penghutang Penghakiman bagi mengarahkannya hadir di Mahkamah dan mengemukakan sebab/alasan mengapa Penghutang Penghakiman tidak patut dipenjarakan bagi sebab kegagalan melaksanakan perintah atau penghakiman tersebut.
Cara pelaksanaan penghakiman atau perintah Mahkamah yang seterusnya adalah prosiding garnis (garnishee) seperti yang telah diperuntukkan di bawah Aturan 49 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding pelaksanaan perintah atau penghakiman ini adalah orang yang digarnis (garnishee) iaitu orang yang mempunyai hutang tertunggak terhadap Penghutang Penghakiman. Manakala orang yang mengarnis (garnishor) adalah Pemiutang Penghakiman.
Melalui prosiding garnis (garnishee) ini, Pemiutang Penghakiman boleh mendapatkan perintah daripada Mahkamah untuk mengarahkan orang yang digarnis untuk membuat pembayaran hutang yang dihutang daripada Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman secara terus dengan syarat jumlah hutang tertunggak yang dihutang oleh orang yang digarnis terhadap Penghutang Penghakiman mestilah mempunyai jumlah yang tertentu dan jumlah amaun yang pasti.
Semasa dalam proses permohonan perintah pelaksanaan ini, orang yang digarnis perlu menunjukkan sebab munasabah yang menunjukkan bahawa dia tidak perlu membayar hutang yang dihutangnya terhadap Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman. Sementara Pemiutang Penghakiman pula perlu mengemukakan pernyataan di dalam afidavit yang menunjukkan bahawa orang yang digarnis tersebut sememangnya mempunyai hutang tertunggak terhadap Penghutang Penghakiman dan berada dalam bidang kuasa Mahkamah.
Jika orang yang digarnis gagal menghadiri prosiding untuknya menunjukkan sebab tersebut, satu perintah mutlak akan diberikan kepada Pemiutang Penghakiman di mana orang yang digarnis perlu membayar jumlah hutang yang dihutangnya daripada Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman secara terus.
Namun, sekiranya orang yang digarnis itu berjaya mempertikaikan liabiliti untuk membayar hutang yang kena dibayar atau dituntut kena dibayar olehnya kepada Penghutang Penghakiman, Mahkamah boleh secara terus menentukan persoalan yang menjadi isu untuk dibicarakan bagi menentukan liabiliti orang digarnis itu.
Di samping itu, Aturan 50 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan Perintah Gadaian dibuat ke atas sekuriti (“Charging Order”). Di bawah peruntukkan perundangan ini, bagi maksud menguatkuasakan suatu penghakiman atau perintah untuk pembayaran suatu jumlah wang tertentu kepada sesuatu pihak, Mahkamah boleh mengenakan faedah ke atas apa-apa sekuriti yang kepadanya Penghutang Penghakiman itu berhak secara beneficial sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu bagi menjaminkan pembayaran amaun yang kena dibayar di bawah penghakiman atau perintah itu dan bunga ke atasnya. Jenis sekuriti yang boleh dikenakan di bawah Perintah Gadaian adalah dividen, saham kerajaan mahupun saham syarikat yang berdaftar di bawah mana-mana undang bertulis di Malaysia.
Pihak yang berkehendak untuk mendapatkan Perintah Gadaian perlulah menunjukkan sesuatu perintah atau penghakiman telah dikeluarkan oleh Mahkamah dan menyatakan jenis sekuriti yang ingin dikenakan faedah serta memastikan bahawa Penghutang Penghakiman mempunyai hak secara benefisial ke atas sekuriti tersebut. Selain itu, Pemiutang Penghakiman perlu menunjukkan sebab munasabah bagi menjustifikasikan Perintah Gadaian.
Melalui pelaksanaan perintah ini, tidak boleh ada mana-mana pelupusan boleh dibuat oleh Penghutang Penghakiman terhadap faedah dalam mana-mana sekuriti selepas Perintah Gadaian ke atas sekuriti itu dikuatkuasakan.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►