Thursday, December 5, 2019

[474.19] MEMORANDUM KEHADIRAN



Dalam saman sivil pihak yang menuntut dikenali sebagai plaintif manakala pihak yang dituntut dikenali sebagai defendan.
Persoalannya, sekiranya anda dijadikan defendan, apakah tindakan yang perlu diambil selepas diserahkan saman oleh plaintif?
Selaku orang yang disaman, defendan hanya dapat mengetahui terdapat tindakan saman ke atasnya selepas diserahkan saman daripada plaintif. Oleh yang demikian, undang-undang menetapkan bahawa defendan diberikan masa memasukkan kehadiran dalam masa 14 hari selepas penerimaan saman.
Jika defendan gagal atau enggan memasukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan saman daripada pihak plaintif, plaintif mempunyai hak untuk memasukkan penghakiman ingkar kehadiran ke atas defendan.
Adalah lebih baik sekiranya defendan memasukkan kehadiran terlebih dahulu walaupun defendan berhasrat atau mempunyai cadangan untuk membuat penyelesaian dengan plaintif.
Hal ini adalah untuk mengelakkan plaintif mengambil kesempatan memasukkan penghakiman ingkar ke atas defendan atas kegagalan defendan memasukkan kehadiran.
Kehadiran disini bukan bermaksud defendan hanya hadir ke mahkamah dan kehadiran direkodkan. Sebaliknya defendan perlu memfailkan suatu dokumen yang dipanggil “memorandum kehadiran” (memorandum of appearance) di mahkamah. Memorandum kehadiran boleh dimasukkan sama ada melalui peguam ataupun defendan secara sendiri boleh memasukkan kehadiran melalui kaunter pemfailan di mahkamah.
Sumber rujukan : Kaedah 12 dan Kaedah 13 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►