Saturday, May 25, 2019

[367.19] Peranan peguam mewakili penjenayah - Aidil Khalid

Peranan peguam mewakili penjenayah - Aidil Khalid 
__________________________________________
ANTARA perkara yang selalu menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat awam apabila mendapat tahu seseorang itu bertugas sebagai peguam­bela dan peguamcara, atau sedang belajar dalam bidang perundangan dan bakal menjadi peguam, adalah berke­naan dengan persoalan, di manakah letaknya nilai prinsip dan moral seseorang peguam yang sanggup mempertahankan dan membela seseorang penjenayah yang dituduh di mahkamah; tidak tahukah para peguam membezakan dosa dan pahala, hanya semata-mata untuk mengaut yuran guaman beribu-ribu?
Bayangkan apabila seseorang itu didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, atau membunuh, atau merogol, misalnya — tentu sahaja masyarakat pada umum­nya menginginkan keadilan terlaksana dengan memastikan penjenayah tersebut disumbat di penjara, atau jika perlu, dihukum dengan sebatan dan hukuman lain yang diperuntukkan di sisi undang-undang semaksimum mungkin. Hal ini penting, supaya keselamatan awam dapat dijaga, penjenayah diasingkan bagi melindungi orang awam dari­pada perbuatan jenayahnya, selain sebagai suatu proses untuk menghukum dan memulihkan agar pesalah dapat kembali ke pangkal jalan.
Sehinggakan, tugas peguambela terkadang dikecam sebagai kononnya suatu profesion untuk memutarbelitkan fakta dan bukti, bagi melepaskan penjenayah daripada menjalani proses hukuman ini.
Pun demikian, maksim yang masyhur dalam bidang perundangan jenayah menetapkan bahawa seseorang itu hendaklah ditanggapi sebagai tidak bersalah di sisi undang-undang, selagi mana dia tidak dibuktikan bersalah melalui proses keadilan. Proses keadilan di sini bermaksud proses mengadili seseorang tertuduh itu di mahkamah, berasaskan keterangan dan bukti-bukti yang sahih. Seseorang yang telah dituduh melakukan jenayah mempunyai hak untuk menafikan dakwaan tersebut. Penafian ini perlulah diberikan ruang untuk dihujahkan di mahkamah secara penuh, sebelum sabitan atau pembebasan dapat diputuskan oleh mahkamah.
Di sinilah letaknya pera­nan seseorang peguam­bela itu untuk mewakili orang kena tuduh dalam mem­bela dirinya — memastikan pro­ses keadilan dapat berjalan dengan lancar; membangkitkan beberapa keraguan, jika ada, terhadap kesahihan dan kebolehpercayaan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan; serta bagi memastikan tidak ada orang yang tidak bersalah dihukum atas dakwaan palsu. Atau, jika pun seseorang kena tuduh itu sememangnya bersalah dan mela­kukan jenayah tersebut, maka peguam­bela masih tetap mempunyai tanggungjawab bagi memastikan agar dia tidak dihukum melangkaui had hukuman yang sepatutnya, sesuai de­ngan jenis kesalahan yang telah dilakukannya.
Bermaksud, jika seseorang penjenayah itu melakukan kesalahan, dan hukumannya yang setimpal di sisi undang-undang adalah dua tahun penjara, maka menjadi tanggungjawab peguambela untuk memastikan dia dihukum tidak melebihi daripada tempoh tersebut. Demikian juga jika di sisi undang-undang ada pengecualian tertentu — misalnya berkenaan dengan umur atau jantina atau keadaan-keadaan tertentu seperti kesempitan hidup dan penyakit kronik sehingga mendorong penjenayah melakukan sesuatu perbuatan jenayah — maka sekali lagi menjadi tanggungjawab peguambela untuk menghujah perkara-perkara ini kepada mahkamah, untuk dipertimbangkan dan diambil kira dalam menentukan pengurang­an hukuman.
Harus diingatkan bahawa keadilan bukan hanya terdapat dalam hukuman, tetapi juga boleh ditemui dalam kemaafan.
Sungguhpun seseorang peguambela itu bertugas dalam sebuah firma swasta, pada hakikatnya dia masih tetap berperanan dan bertanggungjawab sebagai pegawai mahkamah. Justeru, selain mewakili orang kena tuduh yang membayar yuran guamannya, dia juga bertanggungjawab terhadap institusi kehakiman, bagi memastikan keadilan dapat terlaksana. Kerana itulah, bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak, seseorang peguam sebenarnya tidak boleh memutarbelitkan fakta atau kete­rangan semata-mata untuk membela anak guamnya yang dituduh di mahkamah. Sebaliknya, dia terikat de­ngan kod etika yang ketat, seperti diperuntukkan di bawah Aturan Profesion Perundangan (Amalan dan Etika) 1978 (APPAE 1978), untuk antara lainnya, tidak melakukan sebarang helah atau penipuan kepada mahkamah ketika mengendalikan kes-kes yang dibawa.
APPAE 1978 juga memperuntukkan bahawa seseorang peguam itu tidak boleh mengatakan tidak terhadap kewajipan untuk mewakili seseorang anak guam, melainkan terdapat pengecualian tertentu seperti konflik kepen­tingan. Ini sekali gus meletakkan kewajipan kepadanya untuk mewakili setiap anak guam, sungguhpun dia tahu bahawa anak guam itu sememangnya melakukan jenayah seperti yang dituduh. Hanya sanya, cara bagaimana dia membuat pembelaan tersebut hendaklah terikat kepada kod-kod etika seperti yang telah disebutkan tadi, demi memastikan kepentingan keadilan dipelihara.
Pada akhirnya, seperti yang diingatkan dalam mafhum sebuah hadis riwayat Tarmizi, kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►