Saturday, May 25, 2019

[359.19] Mansuh peruntukan 'anggapan berganda' bagi sabitan edar dadah


Mansuh peruntukan 'anggapan berganda' bagi sabitan edar dadah
..........................................
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memansuhkan satu peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA) yang membolehkan "anggapan berganda" digunapakai untuk mensabitkan seseorang tertuduh kerana mengedar dadah.
Dalam keputusan yang bersejarah, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mengisytiharkan bahawa seksyen 37A Akta tersebut bercanggah dengan perlembagaan kerana melanggar Perkara 5 (1) yang dibaca bersama Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5 (1) menyebut bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang manakala Perkara 8 (1) menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
"Kami berpendapat bahawa seksyen 37A prima facie melanggar anggapan ketakbersalahan kerana ia membolehkan seseorang tertuduh disabitkan sedangkan keraguan yang munasabah mungkin wujud," kata Malanjum.
Hukuman mati mandatori akan dikenakan ke atas seseorang tertuduh yang didapati bersalah kerana mengedar dadah.
Seksyen 37A Akta Dadah Berbahaya digubal pada 2004 untuk membolehkan pihak pendakwaan bergantung pada anggapan "memiliki dan mengetahui tentang dadah" di bawah Seksyen 37 (d) dan "pengedaran" di bawah Seksyen 37 Akta tersebut untuk mensabitkan pengedar dadah.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►