Friday, April 7, 2017

APA ITU KHULUK (TEBUS TALAK)


DEFINASI KHULUK (TEBUS TALAK)


Khuluk dari segi bahasa arab bermaksud cabut, tanggal seperti menanggalkan baju, pakaian dan sebagainya. Pengertian ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah , ayat 187 yang bermaksud mereka itu (isteri-isteri) adalah pakaian kamu dan kamu (suami-suami) adalah pakaian mereka. Dari segi syarak’ Khuluk bermaksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan membuat gantirugi (bayaran) kepada suami.

DALIL BERKAITAN KHULUK (TEBUS TALAK)

Al-Quran (Al-Baqarah : 229)
Talak (yang boleh dirujuk' kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (ruju' dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepasnya (menceraikannya) dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengambil bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Hadith Rasullullah SAW
“Ambillah kebun yang dijadikan maskahwin itu dan ceraikanlah dia.”Hadith ini ditujukan oleh Rasulullah SAW terhadap Sabit bin Qais yang mana isterinya bernama Habibah bte Sahal Al-Nasari memohon cerai di samping mengembalikan semua maskahwinnya kepada Sabit bin Qais, tebusan talaq yang dilakukan oleh isteri Sabit ini adalah merupakan tebusan talaq yang pertama kali berlaku di dalam Islam. (Riwayat Al-Bukhari)

HUKUM KHULUK (TEBUS TALAK)
Hukumnya Harus. Ia berlaku dengan cara tebusan berbentuk harta yang diberikan oleh isteri kepada suaminya. Dan jika harta tebusan diketahui dan disebut semasa ketika lafaz khuluk’, tebusan yang disebut itulah yang wajib diberikan oleh isteri kepada suaminya. Jika sekiranya tebusan tersebut tidak ditentukan dengan tepat, khuluk tetap sah dan suami wajib mendapat mahar misil daripada isterinya. Sekiranya suami menggunakan kalimah khuluk untuk tujuan talak tanpa menyebut sebarang harta tebusan dan tidak terlintas dihatinya untuk mendapatkan tebusan, ia adalah talak biasa yang menggunakan lafaz khuluk sebagai kinayah (kiasan). Maksudnya lafaz tersebut dianggap sebagai talak kinayah dan lafaz itu dijadikan talak raj’i.

RUKUN-RUKUN KHULU’
Menurut ulama Mazhab Syafi’e, rukun rukun khulu’ ada lima perkara iaitu Al-Mujib, Al-Qabil, Al-'Iwad, Al-Mu’awwad dan Sighah.

1. AL-MUJIB
Al-Mujib bermaksud suami atau walinya atau wakilnya yang melafazkan ijab. Suami hendaklah seorang yang baligh, berakal dan mampu membuat pilihan yang sah talaqnya mengikut syarat talaq. Tidak sah khulu’ suami yang masih kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa.
Seorang yang safih bermaksud seorang yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dengan baik. Seseorang yang safih apabila ditahan atau ditegah untuk menguruskan hartanya kerana ditakuti dia membazirkan hartanya dan tidak tahu mengembangkan hartanya dipanggil seorang yang mahjur ‘alaihi. Khulu dari suami yang safih/mahjur ‘alaihi adalah sah sama ada dengan izin wali ataupun tidak. Balasan khulu’ tersebut hendaklah diserahkan kepada wali suami tersebut atau diserahkan kepada suami itu sendiri dengan izin wali. Jika diserahkan bayaran khulu’ tersebut tanpa pengetahuan wali dan harta itu lenyap, isteri hendaklah membayar mahar mithil. Mahar mithil adalah mahar sebanding dengan mahar bagi kakak atau adik di dalam keluarga isteri.
Khulu’ dari seorang suami yang bankrap adalah sah dan balasan khulu’ diharuskan dibayar kepada suami tersebut kerana pada asalnya suami tersebut menepati syarat dan mampu bertindak ke atas hartanya.

2. AL-QABIL
Al-Qabil bermaksud orang yang menerima iaitu isteri yang menerima pertukaran dan mesti membayar tebusan. Isteri tersebut mestilah isteri yang sah menguasai hartanya dan seorang mukallaf. Khulu’ isteri yang safih/mahjur ‘alaihi adalah tidak sah dan jika isteri tersebut telah memberi balasan khulu’ maka khulu’ akan terbatal dan jatuh kepada isteri yang safih/mahjur ‘alaihi itu talaq raj’i.

3. AL-’IWWAD
Al-’Iwwad adalah sesuatu yang dijadikan tukaran semasa khulu’ ataupun dipanggil balasan khulu’. Barangan tukaran tersebut boleh berbentuk harta, wang, hutang ataupun manfaat. Contoh barang tukaran yang berbentu manfaat ialah menyusukan anak selama anak berada dalam tempoh susuan yang wajib iaitu 2 tahun seperti dalam firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 333 yang bermaksud
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan ank-anak mereka selama dua tahun genap....”
Jika isteri yang menyusukan itu meninggal ataupun susunya kering sebelum genap dua tahun, maka suami wajib mendapat bayaran upah yang setara bagi penyusuan untuh tempoh berbaki.

Barang tukaran tersebut hendaklah berharga atau bernilai pada pandangan syara’, diketahui dan dimaklumi, boleh diserahkan kepada orang lain dan dapat dimiliki sepenuhnya. Khulu’ dengan barang yang tidak diketahui atau dimaklumi akan menyebabkan khulu’ itu fasid atau rosak dan terjatuhlah talaq ba’in terhadap isteri dengan bayaran maharan mithil. Contohnya barang tukaran adalah haiwan ternakan yang masih berada di dalam perut/kandungan ibunya yang tidak diketahui akan hidup atau tidak.
Khulu’ dengan barang tukaran yang tidak bermanfaat dan sia sia pada pandangan syara’ juga akan menyebakan khulu’ fasid dan tertalaqlah isteri dengan talaq ba’in dengan bayaran mahar mithil.

4. AL-MU’AWWAD
Al-Mua’awwad bermaksud barang tebusan yang ditebus oleh isteri dengan menyerahkan barang ganti (‘iwaad) kepada suami.Barang tebus yang hendak ditebus isteri adalah hak suami ke atas suami didalam perkahwinan. Khulu’ hanya boleh berlaku jika hubungan perkahwinan masih wujud sama ada pada hakikat atau pada hukum. Khulu’ tidak akan berlaku sesudah berlakunya talaq ba’in atau tamatnya tempoh ‘iddah talaq raj’i. Oleh itu, hanya isteri yang masih sah disisi suami dan isteri yang masih dalam tempoh ‘iddah talaq raj’i yang boleh meminta khulu’.

5. SIGHAH
Sighah mengandungi dua perkara iaitu ijab dan qabul. Ijab dalam khulu’ bermaksud ucapan dari suami manakala qabul bermaksud penerimaan atau jawapan dari isteri kepada ucapan suami. Keseragaman antara ijab dari suami dan qabul dari isteri adalah penting. Contohnya, si suami berkata “Aku khulu’kan engkau dengan membayar dua ribu ringgit” dan isteri menjawab “Aku terima dengan seribu ringgit”. Sighah seperti ini tidak diterima dari sudut syara’.
Syarat-syarat sighah adalah hendaklah ijab dan qabul itu dibuat dengan lafaz yang terang, tidak dipisahkan dengan percakapan yang banyak dan hendaklah kabul tidak bercanggah dengan ijab.
Lafaz khulu’ boleh dilafazkan secara terang(sarih) ataupun secara sindiran(kinayah) yang beserta niat. Lafaz khulu’ boleh menggunakan lafaz talaq atau lafaz fida’(tebusan). Contohnya, “ Aku tebuskan engkau dengan bayaran seribu ringgit” atau “aku talaqkan engkau dengan sekebun buah”. Lafaz khulu’ secara sindiran adalah “Aku jual dirimu kepada mu dengan seribu ringgit”. Lafaz kinayah ini hendaklah disertakan dengan niat dan diterima dengan segera oleh isteri. Lafaz khulu’ hendaklah disebutkan sekali dengan bayaran ganti. Jika suami menggunakan lafaz khulu’ tanpa bayaran khulu’ makanya lafaz khulu’nya tidak sah. Jika lafaz yang digunakan adalah lafaz talaq tanpa bayaran khulu’ maka jatuhlah talaq ba’in terhadap isteri.

KESAN-KESAN KHULU’
Salah satu kesan khulu’ ialah khulu’ tidak dianggap dalam hitungan talaq. Sebagai contoh, isteri yang telah diceraikan dengan talaq dua yang kemudiannya diceraikan dengan khulu’ pula, maka masih dibolehkan menikahi isterinya tersebut.

Disebabkan khulu’ disyariatkan untuk menghilangkan kemudharatan ke atas wanita daripada perangai buruk si suami atau si isteri yang terpaksa tinggal bersama suami yang dibencinya kerana khulu’ dibolehkan pada bila-bila masa walaupun isteri di dalam keadaan tidak suci.
Selain dapat menghindarkan masyarakat dari bahaya kemudharatan, khulu’ dapat mengurangkan kes-kes penderaan suami terhadap isteri. Tambahan pula, Islam tidak pernah mengajar si suami menzalimi si isteri.

Ini juga membuktikan kepada masyarakat kita bahawa Islam menyediakan penyelesaian kepada wanita-wanita yang mempunya masalah dengan menetapkan hukum-hukum dan kelonggaran kepada wanita itu sendiri.

Khulu’ juga dapat mengelakkan permusuhan di antara bekas suami dan bekas isteri. Ini kerana, untuk khulu’, wanita tidak perlu membuka aib suami. Cukup sekadar menyatakan bahawa beliau tidak menyukai si suami ataupun jika perkahwinan diteruskan, ia mungkin akan mengakibatkan si isteri hidup dalam keadaan berdosa dan juga nusyuz.

Akhir sekali, kesan khulu’ memberi keinsafan kepada suami supaya menyedari kesilapan dan kesalahannya terhadap isteri demi kebaikan masa depan.

Isu I: Berwakil Dalam Khulu’
Hukum berwakil dalam khulu’ adalah harus samada dari pihak suami atau isteri. Syaratnya wakil adalah orang yang sah melakukan khulu’ bagi dirinya sendiri maka sahlah wakalah tersebut. Dibolehkan samada wanita atau lelaki, muslim atau kafir, mahjur ‘alaihi atau seorang dewasa. Tetapi orang yang mahjur ‘alaihi tidak diharuskan mewakili si suami atau si isteri dalam menerima bayaran ganti dalam kes khulu’.
Walaubagaimanapun, khulu’ tersebut tidak akan dikira dari sudut syara’ jika wakil tidak membuat seperti apa yang diminta oleh orang yang mewakilkannya.
Manakala dari segi bayaran ganti, jika wakil isteri mengkhulu’kan dengan arak atau babi samada dengan izin isteri atau sebaliknya, maka bayaran gantinya adalah mahar mithil disebabkan bayaran ganti tersebut dianggap telah rosak (fasid).

Isu II: Iddah Isteri yang Dikhulu’
Jumhur ulama’ berpendapat iddah bagi wanita yang dikhulu’kan adalah sama seperti talaq iaitu 3 kali suci sebagaimana firman Allah SWT yang berbunyi:-
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوءٍ وَلاَيَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَاخَلَقَ اللهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلاَحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ {228}

"Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'. Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujukinya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki ishlah. Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan lebih daripada istrinya. Dan Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana."
(Al-Baqarah: 228).

Tetapi pendapat Al-Hanabilah mengatakan bahawa khulu’ itu adalah fasakh, bukan talaq. Pendapat ini juga didukung sebelumnya oleh fatwa Khalifah Utsman bin Affan, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Dan masa iddah buat wanita yang mengkhulu’ suaminya adalah 1 kali suci, bukan tiga kali suci. Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Tsabit bin Qais mengkhulu’ suaminya, maka Rasulullah SAW menjadikan masa ‘iddahnya sekali mendapat haid. Namun salah satu perawi hadits ini aitu Al-Imam At-Tirmizy justeru mengatakan bahawa kedudukan atau status hadith ini hasan gharib.

Isu III: Khulu’ ke atas Isteri yang Sudah Ditalaq
Bagi isteri yang telah dijatuhkan talaq raj’i, dan kemudiannya dikhulu’kan oleh suaminya ketika isteri masih lagi dalam tempoh iddahnya, maka sahlah hukum khulu’ tersebut kerana suami masih ada hak untuk kembali semula atau rujuk isterinya.
Manakala, bagi isteri yang telah dijatuhkan talaq bain, maka tidak sahlah khulu’nya.


PERUNDANGAN

ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
SEKSYEN 49. PERCERAIAN KHUL’ ATAU CERAI TEBUS TALAQ

(1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh dirujukkan.

(2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.
(4) Jika suami tidak bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.


KES-KES KHULUK
a) NURSUHAILA ELIANI SUHAIMY LWN. JIMMY SHANLEY NORJAHAN (SELANGOR)
b) AZLINA MOHAMED DIN LWN. ABDUL RAZAK AHMAD [2008] 1 MLRS 108 (MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, SEREMBAN).
c) ZALINA MOHD YASIN LWN. ANDRA RAHIM (JOHOR) [ KES MAL 20/97 MTS JOHOR]
d) FUZITA AHMAD LWN RAMLIE LATIFF (JOHOR) [KES MAL 266/95 MTS JOHOR)
e) AZIZAH UTOH LWN MOHD ZAKI SHARANI [KES MAL 1381-13-8-2000]
f) TALIB LWN CHE SEPIAH (KELANTAN) [1979] 1 (I) JH 84
g) NERAT BINTI MUSA LWN. AHMAD B. KANCHIL (PERLIS) [1983] 2 SYA 13/ [1983] 3(I) JH 4
h) MOHAMAD SUKRI SALLEH LWN NALMA YAACOB (KELANTAN) [2004] 1 MLRS 97 (MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, KELANTAN)

ROSIDAH BINTI HASAN VS. YUSMADI SAID (NO. KES MAL: 14001-055-0195-2015).
Dalam kes ini adalah satu tuntutan taklik tetapi ada isu dibangkitkan suami bersetuju untuk menceraikan Pemohon dengan persetujuan pembayaran sebanyak RM20,000.00. Namun isu pembayaran tidak diketengahkan memandangkan pembayaran adalah bagi satu hutang tertunggak dan bukan satu pembayaran kepada syarat diceraikan Pemohon. Permohonan taklik Pemohon dibenarkan oleh Mahkamah.

Saya menegaskan bahawa apabila menggunakan wang balasan sebagai pembayaran atau gantirugi bagi syarat kepada perceraian, walaupun bentuk dilihat sebagai gantung, tetapi ia menjadi factor utama kepada khuluk dan selagi mana terdapatnya gantirugi walaupun dalam nilai yang amat kecil, selagimana ia dipersetujui oleh kedua pihak, ia akan menjadi khuluk dan mempunyai kesan eddah, rujuk dan perkahwinan yang baru sebagaimana yang dinyatakan di atas. Saya merujuk kepada kes berkenaan:

NURSUHAILA ELIANI SUHAIMY LWN. JIMMY SHANLEY NORJAHAN
Kedua pihak bersetuju kepada pembayaran sebanyak RM1.00. Khuluk adalah disahkan apabila kedua pihak setuju dan pembayaran dibuat, talak jatuh. Kes ini tidak dapat dicari samada dilaporkan di dalam jurnal atau sebaliknya tetapi kes ini dilaporkan secara meluas di dalam akhbar.

AZLINA MOHAMED DIN LWN. ABDUL RAZAK AHMAD [2008] 1 MLRS 108 (MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, SEREMBAN). Apabila semua pihak bersetuju bagi satu nilai amaun untuk syarat khuluk, Mahkamah terikat dengan keputusan mereka. Jika ada pihak enggan hadir, maka satu pendamaian akan diusahakan sehingga hakam dilantik jika ia dianggap perlu.

ZALINA MOHD YASIN LWN. ANDRA RAHIM (JOHOR) [ KES MAL 20/97 MTS JOHOR]
Pihak-pihak bersetuju sebanyak RM2000.00, maka mahkamah putuskan bahawa khuluk berlaku dan memerlukan edddah biasa 3 kli suci dan tiada rujuk dibenarkan semasa eddah kerana ia menjad talak bain sughra.

FUZITA AHMAD LWN RAMLIE LATIFF (JOHOR) [KES MAL 266/95 MTS JOHOR)
Sebagaimana kes Zalina Mohd Yasin, Mahkamah menerima pembayaran RM3500 sebagai khuluk dan mempunyai kesan talak bain sughra yang mana tidak dibenarkan rujuk dalam eddah biasa selama 3 kali suci.

AZIZAH UTOH LWN MOHD ZAKI SHARANI [Kes Mal 1381-13-8-2000]
Perkahwinan atas pemilihan keluarga dan atas ketidaksefahaman, isteri memohon khuluk atas suami untuk dilepasan. Defendan bersetuju pada amaun RM5500.00, maka apabila pembayaran nilai persetujuan tersebut maka talak bain sughra jatuh dengan talak satu dan kesan kepadanya eddah biasa 3 kali sudi kepada isteri dengan tidak boleh rujuk semasa eddah berkenaan.

TALIB LWN CHE SEPIAH (KELANTAN) [1979] 1 (i) JH 84
Isteri telah memohon khuluk daripada suami tetapi suami tidak bersetuju. Dengan menggunakan peruntukan yang ada, Mahkamah telah melantik Hakam bagi kes ini. Hakam suami bersetuju untuk khuluk dengan nilai RM100.00 dan cerai khuluk telah dibenarkan. Satu rayuan dikemukakan dan keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah dikekalkan.

Hakam mempunyai kuasa bagi satu penilaian yang mana terbaik kepada pihak yang diwakilinya.

NERAT BINTI MUSA LWN. AHMAD B. KANCHIL (PERLIS) [1983] 2 SYA 13/ [1983] 3(i) JH 4
Ia permohonan isteri kepada satu perceraian atas sebab pergaduhan rumah tangga. Hakam telah dilantik bagi kedua pihak dan kedua hakam bersetuju menyelesaikan permasalahan tersebut dengan khuluk dan hakam suami bersetuju satu khuluk sebanyak RM150.00

Talak Khuluk jatuh apabila isteri membayar nilai gantirugi berkenaan. Keputusan hakam dalam menyelesaian sedemikian adalah muktamad.

MOHAMAD SUKRI SALLEH LWN NALMA YAACOB (KELANTAN) [2004] 1 MLRS 97 (MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, KELANTAN) Perceraian khuluk ditetapkan bagi kemudahan kedua pihak pada amaun RM15,000.00. Talak jatuh apabila pembayaran dibuat. Jika tidak dapat dilaksanakan, hakam akan dilantik bagi menyelesaikannya.

KESIMPULAN
a) Talak milik suami tetapi kuasa cerai banyak di tangan isteri;
b) Khuluk diharuskan dengan sebab munasabah. Sebaliknya laknat ke atas isteri;
c) Khuluk adalah jalan penyelesaian terbaik kepada perceraian selain method cerai yang ada;
d) Jika pihak setuju, khuluk boleh dibenarkan;
e) Tidak bersetuju, lantik hakam bagi perbincangan dan keputusan terbaik;
f) Jumlah bayaran adalah dipersetujui kedua pihak;
g) Jika tidak setuju, mahkamah boleh ambilkira mengikut syarak;
h) Bayaran dibuat, talak jatuh;
i) Eddah cerai khuluk sama seperti biasa;
j) Talak bain sughra - tidak boleh rujuk dalam eddah;
k) Boleh nikah balik melalui perkahwinan baru.

HISHAM NAZIR & GANG-STAR

Nota: Gambar adalah gym milik ... di bawah brand MMA/Kick Boxing/Muay Thai yang digelar "NAGA BORA" dan pertubuhan silat sedunia di bawah PERSEKUTUAN SENI PUSAKA GAYONG PERSILATAN SENDI HARIMAU MALAYSIA.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►