Wednesday, October 26, 2022

[1303.22] PERTIMBANGAN MAHKAMAH SYARIAH DALAM TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN


Mahkamah dalam menentukan Tuntutan Harta Sepencarian yang difailkan mempertimbangkan tiga (3) isu utama yang menjadi fakta persoalan yang perlu diputuskan sebelum apa-apa prosiding seterusnya boleh diteruskan iaitu (1)Apakah harta-harta yang menjadi isu dalam tuntutan ini adalah Harta Sepencarian iaitu harta yang diperolehi atau harta yang dibangunkan dalam masa perkahwinan, (2) Bagaimanakah Tuntutan Harta Sepencarian ditentukan oleh Mahkamah dan (3) Adakah Tuntutan Harta Sepencarian dan kadar yang dituntut menepati peruntukan Hukum Syarak dan Undang-Undang dan boleh dibenarkan atau sebaliknya?
Berdasarkan kepada kes Hajah Lijah Jamal lwn. Fatimah Mat Diah, [1981] 2(i) JH 84, Hakim Briggs telah memutuskan Harta Sepencarian sebagai harta yang diperolehi dalam masa mereka hidup berkahwin sebagai suami isteri, hasil daripada daya mereka atau melalui usaha mereka bersama. Mahkamah Syariah akan melihat kepada sumbangan pihak-pihak terhadap harta yang dituntut iaitu samada wujud sumbangan atau tidak, melalui sumbangan secara langsung atau tidak langsung. Setelah dibuktikan jenis sumbangan, barulah pihak-pihak yang berkenaan layak dan berhak ke atas harta yang dituntut sebagai Harta Sepencarian.
Mahkamah seterusnya akan melihat kepada takat sumbangan pihak-pihak dalam memperolehi harta-harta sama ada satu pertiga atau setengah atau sebagainya. Akhir sekali, beban bukti dalam membuat tuntutan terhadap Harta Sepencarian yang mana Plaintif bertanggungjawab memikul beban pembuktian.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►