Friday, September 2, 2022

[1265.22] KESALAHAN MEMUNGUT ZAKAT DAN FITRAH TANPA KEBENARAN


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mempunyai kuasa untuk memungut dan melupuskan zakat dan fitrah di Wilayah-wilayah Persekutuan. MAIWP juga mempunyai kuasa untuk melantik amil-amil untuk memungut zakat dan fitrah. Maka, mana-mana orang yang memungut zakat dan fitrah tanpa lantikan daripada MAIWP adalah dianggap melakukan kesalahan berdasarkan kepada Seksyen 33 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang telah menyatakan dengan jelas berkaitan kesalahan pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa.
Seksyen 33 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberikuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seterusnya, tindakan Mahkamah adalah dengan memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 60 Akta Pentadbiran. Elemen yang perlu dibuktikan dalam mensabitkan kesalahan di bawah Seksyen 33i adalah orang yang melakukan perbuatan tersebut, perbuatan memungut zakat atau menyebabkan perbuatan memungut zakat itu dilakukan, perkara yang dipungut iaitu zakat ataupun fitrah, perbuatan memungut atau menyebabkan zakat atau fitrah itu dipungut oleh orang yang tidak dilantik oleh MAIWP sebagai amil atau apa-apa sahaja nama jawatan yang mempunyai fungsi yang sama seperti amil iaitu memungut zakat.

 

 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►