Tuesday, July 26, 2022

[1210.22] GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK MENURUT AKTA JENAYAH SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK 2017


Merujuk kepada Seksyen 14(a) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dalam membuktikan kes terhadap Orang Kena Tuduh (OKT), beberapa elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah dengan memastikan perlakuan / perbuatan OKT telah secara seksual menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak, sama ada dengan melakukan kontak fizikal berbentuk seksual terhadap mangsa, kontak fizikal itu tidak melibatkan persetubuhan dan mangsa mestilah seorang kanak-kanak.
Seperti yang dapat dilihat pada Seksyen 14 ini, Parlimen memandang serius akan kesalahan-kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di mana ia telah menetapkan bahawa walaupun hanya menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak atau bahkan dengan objek untuk tujuan seksual, seseorang itu dikatakan telah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Seksyen 14(a) tidak menyebut dengan jelas atau secara spesifik bahagian badan mana yang disentuh kerana ia digubal sedemikian rupa bagi membolehkan pendakwaan dijalankan ke atas tertuduh pada ketika dan seawal mungkin kes dilaporkan dan siasatan dijalankan. Perkataan yang digunakan adalah amat luas makna dan pengertiannya iaitu 'menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak bagi maksud seksual dan dibaca bersama Huraian 1 dan 2 tersebut bagi membawa maksud 'seksual'.
Ini adalah kerana berkemungkinan bagi sesetengah kanak-kanak yang masih mentah atau tender years tidak memahami atau mengenali bahagian-bahagian badan mereka dan hanya setelah mendengar keterangan yang dikemukakan di Mahkamah barulah bahagian badan tersebut dapat dikenal pasti dan diperincikan.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►