Thursday, February 24, 2022

[1093.22] HUKUMAN ROTAN KE ATAS PESALAH JENAYAH


Jumlah rotan paling banyak yang boleh dikenakan ke atas seorang penjenayah mengikut undang-undang jenayah di Malaysia adalah 24 kali sebatan rotan. Terdapat dua jenis rotan yang digunakan untuk hukuman ini, iaitu rotan jenis nipis. Ia digunakan untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah (CBT), dan jenayah kolar putih. Jenis kedua pula ialah rotan jenis tebal, yang digunakan untuk jenayah serius, seperti kes rogol dan gangguan seksual.
Kesan rotan jenis nipis tidak begitu memudaratkan badan, akan tetapi ia lebih menyakitkan. Berdasarkan kajian perubatan, merotan dengan rotan tebal yang melebihi lima kali sebatan boleh mengakibatkan mati pucuk dan menjejaskan deria rasa dari punggung ke bawah. Oleh kerana kesan merotan yang begitu serius, undang-undang Malaysia mengecualikan beberapa kategori pesalah daripada menerima hukuman rotan tersebut.
Antara kategori pesalah yang dikecualikan menerima hukuman rotan adalah pesalah perempuan. Ini kerana hukuman rotan boleh menjejas kandungan dan keupayaannya untuk bersalin. Kategori kedua adalah lelaki berumur 50 tahun ke atas. Manakala kategori ketiga adalah pesalah yang disahkan tidak sihat oleh pegawai perubatan dan juga pesalah yang disahkan tidak waras atau gila.
Walau bagaimanapun, pesalah yang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 376, 377c, 377ca atau 377e Kanun Keseksaan, hukuman rotan tersebut tidak akan dikecualikan dan masih akan dijalankan ke atas pesalah lelaki yang telah melebihi umur 50 tahun.
Berdasarkan pindaan yang berkuatkuasa pada 7 September 2007, seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan bahawa pesalah lelaki yang berumur 50 tahun ke atas akan dijatuhkan hukuman rotan sekiranya pesalah tersebut disabitkan dengan kesalahan rogol, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan, perhubungan seks dengan objek atau merangsang seorang kanak-kanak untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau.
NOTA: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►