Penjamin tidak perlu hadir setiap kali tarikh sebutan/perbicaraan ditetapkan oleh Mahkamah. Namun, sebagai penjamin OKT, seseorang penjamin itu bertanggungjawab untuk memastikan kehadiran OKT pada setiap tarikh yang ditetapkan itu.
Tuntutan bayaran balik wang jaminan hanya boleh dibuat SELEPAS kes melibatkan OKT itu selesai dan Mahkamah telah membuat perintah bahawa wang jaminan itu dikembalikan kepada penjamin. Maksud kes selesai di sini ialah Mahkamah telah memberikan perintah samada OKT itu disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman; atau Mahkamah memberikan perintah pembebasan tanpa melepaskan OKT (discharge not amounting to acquittal - DNAA); atau Mahkamah memberikan pembebasan dan pelepasan ke atas OKT (discharge and acquittal).
Sekiranya OKT yang dijamin gagal hadir ke Mahkamah pada tarikh sebutan/perbicaraan tanpa notis atau kebenaran Mahkamah, biasanya Mahkamah akan keluarkan waran tangkap bagi mengarahkan OKT ditangkap dan dibawa ke Mahkamah. Notis tunjuk sebab kepada penjamin juga akan dikeluarkan bagi mengarahkan penjamin hadir ke Mahkamah bagi memberikan sebab mengapa OKT tidak hadir ke Mahkamah dan memberikan sebab mengapa wang jaminan tidak patut dirampas oleh Mahkamah.
Sekiranya Mahkamah berpuas hati dengan penjelasan penjamin, Mahkamah akan tangguhkan kes sehingga OKT hadir ke Mahkamah. Sekiranya Mahkamah tidak berpuas hati, maka Mahkamah boleh perintahkan samada jumlah penuh wang jaminan itu dirampas (tidak akan dikembalikan kepada penjamin) atau sebahagian dari wang jaminan itu dirampas dan sebahagian lagi dikembalikan kepada penjamin.
Wang jaminan yang dibayar ke Mahkamah adalah suatu wang amanah dan biasanya kepunyaan penjamin. Maka, Mahkamah tidak boleh mengarahkan ia ditukar atau dijadikan sebagai wang untuk membayar denda.
NOTA: Gambar sekadar hiasan
ZAHIRAH BAHARI
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..