Monday, October 4, 2021

[977.21] DILEPASKAN TANPA DIBEBASKAN


"Bolehkah seseorang itu dituduh semula atas pertuduhan yang sama selepas dilepaskan?"
Selagi seorang tertuduh dilepaskan dan tanpa dibebaskan (DNAA), tertuduh masih lagi boleh dituduh semula dengan pertuduhan yang sama di mahkamah. Terdapat banyak sebab bagi pihak pendakwaan untuk memustuskan sedemikian dan kebiasaannya, seorang tertuduh akan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana kekurangan bukti untuk dituduh dan pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk mengumpulkan bahan bukti. Selain itu, terdapat juga situasi dimana penyiasatan keatas tertuduh adalah tidak lengkap dan pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk benar-benar memastikan bahawa keadilan dinilai selari dengan teras undang-undang negara.
Dalam menentukan sama ada tertuduh akan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) ataupun dilepaskan dan dibebaskan (DAA), kes Goh Hwa Kiang v. PP [2021] 8 CLJ telah menekankan tentang beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh mahkamah iaitu:-
1. tertuduh telah direman dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan.
2. beberapa penundaan telah diberikan namun saksi pendakwaan masih lagi gagal menghadirkan diri ke mahkamah untuk memberi keterangan dan tiada sebab kukuh bagi kegagalan kehadiran tersebut.
3. bicara masih lagi di peringkat awal pendakwaan.
Dalam kes tersebut, telah terbukti bahawa tertuduh dituduh untuk satu tempoh yang sangat lama dan pertuduhan tergantung seperti tidak menemukan jalan akhir. Mahkamah telah mengambil kira tentang kepentingan awam dan setelah pihak pendakwaan gagal meneruskan perbicaraan kerana kegagalan saksi pendakwaan untuk hadir, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.
Kesimpulannya, dalam mempertimbangkan sama ada tertuduh akan dilepaskan dan dibebaskan atau dilepaskan tanpa dibebaskan, sangatlah penting untuk mahkamah mengambil kira tentang fakta kes dan keadaan sesuatu kes tersebut. Mahkamah juga harus mempunyai alasan yang adil dan munasabah berlandaskan undang-undang bagi keputusan yang diputuskan, tidak kira sama ada tertuduh dilepaskan dan dibebaskan atau tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.
@Ain Syafiqeen
+60109647961


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►