Wednesday, July 21, 2021

[935.21] PERBICARAAN JENAYAH: PERINGKAT PENDAKWAAN


Perbicaraan penuh bagi satu kes jenayah bermula apabila pihak pendakwaan memanggil saksinya untuk memberi keterangan tentang jenayah yang dilakukan terhadap mangsa.
Keterangan yang dimaksudkan adalah keterangan yang diberikan secara lisan oleh saksi tentang jenayah yang dituduh. TPR akan menggunakan keterangan yang diberikan serta sebarang dokumen atau objek yang menyokong keterangan tersebut untuk membuktikan bahawa telah berlakunya satu jenayah. Peringkat perbicaraan ini dikenali sebagai peringkat pendakwaan.
Semasa peringkat pendakwaan, terdapat tiga langkah yang diikuti bagi setiap saksi. Langkah pertama, TPR akan menyoal saksi. Pihak TPR memanggil saksi untuk memberi keterangan (dikenali sebagai pemeriksaan utama) dengan bertanya kepada saksi soalan-soalan terbuka yang dapat membantu saksi menjelaskan bagaimana jenayah itu dilakukan oleh pihak yang tertuduh, sepertimana yang ditulis di dalam pertuduhan.
Langkah kedua, peguam bela menyoal balas. Peguam bela menyoal balas saksi dengan beberapa soalan khusus untuk mendapatkan jawapan yang antaranya menunjukkan bahawa saksi tidak bercakap benar, mungkin tersilap memberi keterangan atau mempunyai tujuan lain untuk menipu tentang kesalahan yang dituduh. Tujuan soalan-soalan ini adalah untuk menimbulkan keraguan sama ada tertuduh benar-benar telah melakukan jenayah tersebut.
Langkah ketiga, TPR akan menyoal semula. TPR menyoal semula saksi dengan menanyakan soalan yang berkait dengan perkara yang ditimbulkan oleh peguam bela. Pada peringkat ini soalan yang ditanya oleh TPR memberi peluang kepada saksi untuk menerangkan semula mana-mana jawapan yang tidak jelas, mengelirukan atau yang berkemungkinan bercanggah, yang diberikan oleh saksi semasa pemeriksaan balas.
+60109647961
Bangi


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►