Thursday, July 8, 2021

[912.21] BAGAIMANA ANAK ANGKAT MEWARISI HARTA PUSAKA


Anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tiada hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat mengikut hukum syarak sekali pun anak tersebut telah dibinkan kepada bapa angkat di dalam sijil kelahiran.
Islam agama yang adil dan prihatin kepada semua golongan manusia. Memang benar anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka secara faraid. Tetapi Allah maha mengetahui dan bijaksama membenarkan ibu bapa angkat ‘mewariskan’ sebahagian daripada harta mereka kepada anak angkat melalui Hukum Wasiat dan juga hibah.
Dengan berwasiat, anak angkat akan mewarisi paling maksimum 1/3 daripada harta pusaka ibu bapa angkat mereka, manakala baki 2/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris si mati secara faraid.
Sebagai contoh, Ahmad mempunyai seorang anak angkat, seorang isteri dan tiga orang adik beradik seibu sebapa, dua lelaki dan seorang perempuan. Ahmad mempunyai 5 ekar tanah. Semasa hayatnya, Ahmad telah berwasiat sekiranya beliau meninggal dunia, 1 ekar daripada tanah pusaka peninggalannya hendaklah diberikan kepada anak angkatnya.
Apabila Ahmad meninggal dunia, anak angkat boleh menuntut harta pusaka itu sebagai penerima wasiat, manakala isteri dan tiga orang adik beradik Ahmad menuntut sebagai penerima pusaka secara faraid.
Zahirah Bahari
+60109647961
Shah Alam 07/2021


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►