Tuesday, April 13, 2021

[828.21] Benarkah dakwaan negeri dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas jenayah liwat?


Secara umumnya, undang-undang jenayah merupakan bidangkuasa kerajaan persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List). Di bawah Senarai Negeri (State List), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara spesifik satu senarai panjang (tetapi terhad) mengenai bidangkuasa negeri dan Mahkamah Syariah dalam kesalahan jenayah.
Tun Abdul Hamid Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib vs. Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan satu formula mengenai bidangkuasa jenayah Syariah seperti berikut:
(i) mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;
(ii) kesalahan itu bercanggah dengan perintah agama (against the precepts of Islam);
(iii) kesalahan itu tidak termasuk di bawah bidangkuasa Senarai Persekutuan; dan
(iv) kesalahan itu mengikut bidangkuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta 355 (tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini turut menggunapakai formula di atas dan memutuskan kesalahan jenayah liwat di bawah EJS 1995 memenuhi ciri-ciri butiran (i), (ii) dan (iv) tetapi tidak memenuhi syarat butiran (iii).
Hakim Besar Malaya, TS Azahar Mohamed memutuskan hari ini bahawa bidangkuasa jenayah Syariah yang dimiliki oleh negeri dan Mahkamah Syariah ialah bersifat 'residual', Memandangkan kerajaan persekutuan telah mengambil jenayah liwat dan diletakkan di bawah Kanun Keseksaan, negeri/Mahkamah Syariah tidak ada kuasa terhadap jenayah liwat.
Hakim Besar Malaya juga bersetuju bahawa dengan adanya dua jenayah berbeza di dua mahkamah berbeza, ini akan membawa kepada ketidakadilan yang nyata kerana penganut Muslim yang meliwat boleh didakwa di Mahkamah Syariah yang memperuntukkan hukuman yang lebih ringan, sedangkan orang bukan Islam yang meliwat pula perlu didakwa di Mahkamah Sivil yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Ini bercanggah dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi disebabkan agama.
Zahirah Bahari
Bandar Saujana Putra
4/2021


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►