Saturday, May 25, 2019

[397.19] KES BUNUH SUAMI - CEO CRADLE FUND


KES BUNUH SUAMI - CEO CRADLE FUND
Bukan nak komen tentang kes. Biarkan pihak-pihak melaksanakan tugasnya. Masih jauh perjalanan kes tersebut.
Belum tentu orang kena tuduh melakukannya atau disabitkan kesalahan. Berikan ruang kepada mereka untuk dibicarakan dengan adil selaras dengan hak untuk dibicarakan di bawah perlembagaan Malaysia mahupun haknya sebagai muslim.
Cuma daripada semalam, banyak artikel tentang mangsa. Seorang bekas pelajar dan sekolah yang baik. Komen rakan-rakan lamanya.
Bos yang baik. Anak yang baik. Sahabat yang baik. Dan paling memilukan dikomen, beliau seorang ayah yang baik.
Kes sebegini memberikan kesan besar kepada saya. Antara kes bunuh saya paling berhantu, adalah kes bunuh suami. Oleh isteri dan seorang rakan lelaki.
Emosi akan terganggu amat-amat apabila keterangan dikemukakan daripada saksi-saksi kelak kerana saya juga anak, rakan, bapa dan suami juga.
Masih ingat kuat bagaimana anak sulong berumur 15 tahun memberikan keterangan tentang mangsa yang juga ayahnya. OKT pula ibunya. Lebih banyak menangis daripada berkata-kata. Nampak jelas perasaan serba salahnya. Dalam masa yang sama nampak sayangnya kepada ibunya tetap menebal sebagaimana sayangnya kepada Arwah ayahnya.
Pihak pendakwaan menangis. Begitu juga jurubahasa. Cuma Hakim menahan sedih. Kesemuanya wanita dan ibu. "Saya ni ibu, Hisham" kata DPP kepada saya semasa mahkamah rehat.
Sekarang mungkin anak itu telah menjadi anak gadis dan berkahwin. Melalui satu jalan di sebuah tempat di Kedah menjadikan saya bisu dan mengingatkan kepada wajah anak gadis itu dan neneknya yang tinggal di situ selepas kes bunuh terjadi.
Nenek dan anak-anak kecil itu sering hadir dan duduk dibangku luar Mahkamah Tinggi. Ada ketika ada dua adiknya bersama. Seorang lelaki dan perempuan. Yang lelaki terlalu kecil untuk faham dan rasai kesedihan. Datuk berjauhan atas rasa kecewa apa yang berlaku.
Ibu dan rakan lelaki yang saya wakili dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga mengesahkan keputusan tersebut dengan menolak rayuan Jabatan Peguam Negara.
Ia bukan tentang pengajaran kepada si ibu dan keluarganya sahaja. Ia memberikan kami banyak perkara kecil untuk difikirkan semula. Menghargai sesiapa sahaja. Berfikiran positif dalam banyak perkara.
Paling terkesan adalah keluarga dan mereka yang mengenali mereka semua.
Fikir panjang....
HISHAM NAZIR
Abah kepada 2 anak
Putrajaya

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►