Mahkamah Tinggi Melaka hari ini mengekalkan hukuman denda RM70,000 terhadap bekas pelajar kolej vokasional atas kesalahan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, tahun lalu.
Dalam penghakimanya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Nasfy Yasin mengekalkan denda yang diputuskan terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 21, setelah mendapati keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah tepat untuk dikekalkan memandangkan kes berkenaan telah tular di laman sosial.
Ahmad Nasfy berkata mahkamah mengekalkan hukuman denda sebagai pengajaran kepada pesalah dan orang ramai agar menghormati keputusan mahkamah, selain mengambil kira masa depan wanita itu yang masih muda dan tidak bekerja.
Beliau berkata mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan agar mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh kerana Nur Farahanis Ezatty telah mengambil pengajaran terhadap kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Pada 29 Sept 2017, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen.
Tertuduh dari Alor setar, Kedah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di sebuah inap desa, Jalan Bukit Katil, pada 10.15 malam, 25 Jan 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) akta itu dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Fairuz Syuhada Amran manakala tertuduh diwakili peguam, Haslida Abu Bakar.
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..