Bila belajar silat, semua orang ingin menjadi hebat. Sehebat mana, saya sendiri pun tidak pasti. Tetapi masing-masing seolah ingin mengangkat dada bahawa kita berkelebihan atas pelajaran silat. Bagi saya, pelatih sebegini dah sesat dan terpesong banyak. Dari mana terpesongnya. Samada silap sendiri, rakan latihan mahupun gurulatihnya membimbing sedemikian.
Apabila niat sebegitu, maka lahirlah pesilat yang kenal adat dan budaya silat tetapi tidak memahami sejarah dan amalan budaya silat. Ibarat kera dapat bunga, dilihat cantik.. dipusing-pusing tetapi akhirnya tiada guna baginya.
Saya sering berkata kepada pelatih saya. Bersilat mencari pahala dan mencari tapak untuk pahala itu bergerak bila kita mati. Sebagaimana ADMAR meninggalkan Gayong kepada kita maka pahala kepadanya tetap berterusan selagi ilmu Gayong ini diteruskan atas nama apa jua.
Saya sering tegaskan bahawa setakat hidup kita yang tidak mendidik mahupun melakukan satu perubahan kepada masyarakat kita maka hidup kita tiada makna. Tetapi ramai yang takut kononnya masalah banyak kalau mengajar silat.
Guru saya kata " Hati baik dan ikhlas, yang lain Allah SWT uruskan"...
Saya pegang dan pakai pesan itu. Selama bergayong pernah juga gelanggang saya diceroboh dan disudi, tetapi alhamdullilah, semua jadi rakan dan boleh dijadikan rakan. Kan itu lebih baik.
Ada yang cakap mendada seolah-olah beladirinya amat tinggi harga dan nilainya. Tetapi kaku bila berdepan. Tiada ilmu pelik sekadar ingat pesan guru-guru.
Sekali lagi ayat sama diturunkan kepada rakan-rakan pesilat di bawah jagaan saya semalam. Bukan oleh saya tetapi terus daripada guruku itu.
Saya melihat keberkatan guru ini bukan dalam mendabik dada kerana ilmu dan pengaruhnya tetapi jelas saya melihat kepada faedah selepasnya. Iaitu pahala yang mahu dikumpulkannya. Guru-guru lama sering berkata gayong ini AMANAH dan bukan satu tradisi.
Ilmu diperturunkan dalam banyak cara dan tempohnya tetapi bukan untuk digunakan kecuali perang. Itu pun belum tentu digunakan atau mampu digunakan. Tetapi dipesan bahawa harus disebarkan, tak ramai yang ingin buat. Takut kalau dibuat sedemikian, maka ramai anak bangsa lebih maju. Baik sesama tidak maju. (Sindir)
Semalam saya cuba memujuk Guru saya atas beberapa perkara. Beliau mengambil masa untuk bersetuju. Tetapi saya amat tahu, bahawa apa yang minta tidak akan diperolehi sama sekali. Tetapi beliau tekankan,
"ada orang yang lebih ilmu tetapi setakat itu sahaja. Ada orang sikit ilmu tetapi ada berkat guru. Masyarakat sekitar pun berkati dia kerana dia juga mengajar silat".
"Tak penting belajar banyak. Kerana akhirnya Allah SWT juga yang menentukan"
Saat perpisahan pertemuan semalam, semua anak muridnya dan rakan-rakan saya disalam erat. Saya tidak dihulurkan tangan kanan sebaliknya saya dihulur kedua tangan dan memeluk erat saya dengan mata yang sebak.
Terima kasih atas berkat mu, guruku.
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..