Monday, April 23, 2018

[099.2018] PENGHAKIMAN BERTULIS SECARA ONLINE BAGI KEMUDAHAN ORANG AWAM


Peguam selain alasan penghakiman terus daripada pihak Mahkamah, beberapa jurnal perundangan memang dilanggan bagi kemudahan rujukan bagi menjalankan tugas. Setiap jurnal dilanggan dengan harga ribuan ringgit.
Tetapi penghakiman asal kini dimuatnaik kepada pihak awam bagi memudahkan pihak awam membaca dan memahami tentang sesuatu isu dengan lebih baik tanpa memberikan komen dan viralkan sesuatu tanpa mengetahui asasnya.
..........................................................
Setiap orang kini boleh membaca penghakiman mahkamah Malaysia dalam Portal Penghakiman Malaysia untuk lebih memahami undang-undang, kata Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan laporan undang-undang kini sudah didigitalkan, namun hanya boleh diakses oleh pelanggan laporan undang-undang dan kebanyakan peguam dan ahli akademik bidang undang-undang, manakala bukan profesional undang-undang dan orang awam tidak diberi akses kepada laporan penghakiman secara dalam talian.
“Oleh itu, Badan Kehakiman Malaysia akan menjadi antara yang pertama di rantau Asean dalam menangani masalah itu.
“Kami telah bekerjasama dengan Pusat Maklumat Perundangan Asean dan Majlis Dekan Undang-Undang Malaysia untuk merumuskan penyelesaian inovatif ini bagi memastikan penghakiman boleh diakses oleh semua orang menerusi internet, yang berminat untuk membaca dan merujuk penghakiman Malaysia sama ada di dalam negara mahupun luar negara,” katanya ketika berucap melancarkan versi beta portal itu pada majlis yang dianjurkan Universiti Malaya.
Beliau berkata, portal itu akan menyediakan laporan penghakiman berkualiti kepada orang awam dan pada masa yang sama memberikan pengalaman bernilai kepada pelajar dan ahli akademik bidang undang-undang tentang cara menyediakan laporan undang-undang.
“Ini akan dapat memperkukuhkan hubungan simbiotik antara badan kehakiman dan akademia undang-undang,” katanya dan menurutnya terdapat perancangan untuk memperluas kandungan portal itu untuk memasukkan penghakiman mahkamah tinggi terpilih serta penghakiman tribunal kuasi-kehakiman seperti Mahkamah Perusahaan.
Katanya, dengan pewujudan portal itu diharapkan kritikan tidak berasas terhadap keputusan mahkamah akan berkurangan dan orang awam akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mereka tentang undang-undang dan menghargai alasan diberikan dalam penghakiman itu sebelum membuat kesimpulan sendiri.
Raus berkata, portal itu boleh diakses di alamat www.judgments.my dan akan dijadikan sebagai repositori rasmi Penghakiman Mahkamah Malaysia.
“Portal ini merupakan inisiatif Badan Kehakiman Malaysia bersama-sama Pusat Maklumat Perundangan Asean dan Majlis Dekan Undang-Undang Malaysia untuk menyediakan akses kepada penghakiman Malaysia, secara dalam talian, secara percuma dan boleh diakses dari mana-mana sahaja di dunia.
“Akses kepada maklumat perundangan merupakan petunjuk tahap kematangan masyarakat demokratik, khususnya dalam bidang kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya.
Sehubungan itu, Raus berkata, amalan antarabangsa sepertimana yang terkandung dalam perjanjian dan deklarasi hak asasi manusia, menetapkan peraturan am bahawa penghakiman dan prosiding mahkamah perlu dilaksanakan secara terbuka.
“Saya berbesar hati melaporkan bahawa peraturan ini sedang diamalkan di Malaysia. Semua prosiding mahkamah di Malaysia, kecuali kes-kes sensitif melibatkan individu bawah umur dan kesalahan seksual, adalah terbuka kepada awam.
“Penghakiman dan perintah bagi semua perkara dan tujuan merupakan maklumat awam. Malahan penghakiman sering dibacakan di mahkamah terbuka di hadapan pihak yang terbabit dan orang awam,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Raus berkata, sebanyak 130 penghakiman kes termasuk kes M Indira Ghandi berhubung penukaran agama tiga anaknya kepada Islam yang dilakukan secara sebelah pihak, telah dimuat naik ke dalam Portal Penghakiman Malaysia.
“Kami akan perluaskannya kepada penghakiman peringkat mahkamah tinggi tetapi yang terpilih sahaja... bagi mahkamah persekutuan, semua penghakiman akan dimuat naik,” katanya.
Portal itu yang dicadangkan sebagai repositori rasmi penghakiman dan keputusan Malaysia, berobjektif untuk membangunkan pendekatan berpusat dan konsisten ke arah pengumpulan dan penerbitan penghakiman Malaysia. - Bernama
SINARHARIAN.COM.MY
Setiap orang kini boleh membaca penghakiman mahkamah Malaysia dalam Portal Penghakiman Malaysia untuk lebih memahami undang-undang, kata Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, hari ini.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►